Banyak kenangan aku masa kerja di Melaka ni sepanjang 6 bulan. Aku memang minat betul dengan bangunan sejarah atau boleh diklasifikasikan sebagai bangunan warisan. Dari monumen inilah kita dapat mengetahui secara lebih lanjut berkaitan sejarah kawasan tersebut dan juga impaknya kepada masyarakat dahulu. Aku punye kajian masa belajar dulu pun berkaitan bangunan kolonial dekat Kuala Lumpur. Dekat bawah ini adalah sebahagian daripada sejarah bangunan-bangunan ni. Just nak share jer kepada sume. Selamat membaca.
Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
Ia terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka. Di hadapan memorial ini ialah Dataran Pahlawan. Bangunan ini dibina pada tahun 1911. Sebelum itu bangunan ini dikenali sebagai Kelab Melaka. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan Inggeris. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian pada 31 Ogos 1985, bangunan ini dijadikan memorial yang memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan.
Memorial ini ditubuhkan untuk mengambil dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifek yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Bangunan Stadthuys
Bangunan Stadhuys serba merah dan dilengkapi sebuah menara jam.'Bangunan Stadthuys' ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.
Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.
Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang. Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.
Kota A Famosa
Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashyur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.
Selepas penawanan Portugis A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.
Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.
Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.
A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.
Kaitan Kota A Famosa Terhadap Penaklukan oleh Belanda
Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang menjelang masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.
Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".
Villa Sentosa
Villa Sentosa ialah sebuah rumah yang terletak di Kampung Morten, satu-satunya kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Dibina pada suku pertama abad ke-20 dengan gaya reka bentuk sezaman, rumah itu kemudian dijadikan sebuah muzium persendirian oleh pemiliknya, Tuan Hj. Hashim bin Dato Demang Hj. Abdul Ghani.
Villa Sentosa mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang membawa pelawat kembali ke tahun "Akta Pembaharuan Tanah British 1920". Para pelawat boleh melihat koleksi pakaian, tenunan Melayu, perabot, senapang, dan pelbagai lagi tinggalan sejarah yang unik. Pelawat juga boleh menanyakan pemiliknya tentang maklumat tambahan.
Kota St. John
Ia telah dibina semula di Melaka oleh pihak Belanda semasa suku ketiga kurun ke-18. Kubu ini pernah menjadi gereja khas Portugis yang sempena St. John. Kubu ini mempunyai ciri menarik kerana meriamnya mengadap ke tanah besar kerana pada masa itu, serangan ke atas melaka datang terutamanya dari tanah besar berbanding dari arah laut di Selat Melaka.